Tuesday, October 21, 2008

Malaysia Sumbang Kepakaran Bagi Jayakan Sukan Sea Di Laos

Malaysia akan memberi bantuan teknikal termasuk mengadakan pertukaran pegawai dengan tuan rumah Sukan SEA ke-25, Laos, yang akan menganjurkan temasya dwi-tahunan itu di Vientiane, dari 12-21 Disember tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan tersebut berdasarkan permohonan daripada Laos kepada kerajaan Malaysia yang diterima menerusi Wisma Putra awal bulan lepas.

"Laos kurang berpengalaman dalam penganjuran sukan antarabangsa dan mereka meminta Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998 dan lima kali menjadi tuan rumah Sukan SEA (1965, 1971, 1977, 1989, 2001), untuk memberikan bantuan kepakaran untuk penganjuran Sukan SEA," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

menurut Ismail Sabri sehingga kini, Laos tidak meminta sebarang bantuan kewangan daripada Malaysia walaupun beberapa negara Asean lain seperti Thailand dan Vietnam, turut memberikan bantuan berbentuk kewangan kepada negara tersebut.

Beliau berkata Malaysia menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Laos juga akan bertukar-tukar pegawai bermula pada Disember depan bagi membolehkan mereka memahami senario arena sukan di kedua-dua negara.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga, katanya telah beberapa kali mengendalikan kursus kepada Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos (LNSC).

Laos juga, katanya meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan menghantar jurulatih badminton bagi menggilap bakat pemain di negara tersebut.

Tinjauan di beberapa laman web Sukan SEA Laos sebelum ini mendapati kebanyakan negara Asean telah menghulurkan sumbangan kepada Laos yang merupakan negara termiskin di rantau ini dan sehingga kini lebih RM300 juta telah dikumpulkan menerusi sumbangan masyarakat antarabangsa.

Menurut lawan web, jiran terdekat Laos, Vietnam antara penyumbang utama dengan menawarkan kepakaran dalam teknologi maklumat (IT) termasuk memasang peralatan elektronik baru di stadium bola sepak dan stadium tertutup yang baru.

Vietnam, tuan rumah Sukan SEA 2005, bersama-sama dengan Thailand, juga akan membantu Laos dalam kawalan doping sepanjang temasya itu. Malahan, Vietnam juga berjanji untuk membantu Laos membina perkampungan atlet di Vientiane.

Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand akan membelanjakan kira-kira RM10 juta untuk mengubah suai stadium bola sepak nasional, gelanggang tenis dan stadium tertutup.

Kementerian itu juga membayar kira-kira RM600,000 bagi latihan untuk pengadil dan atlet. Sementara itu Singapura telah menanam 500 batang pokok di sekitar stadium bola sepak.

0 komen c-keet: