Monday, August 4, 2008

Kelab untuk OKU (plan news)


ORANG kurang upaya (OKU) tidak lagi boleh dianggap sebagai golongan yang hanya mengharap simpati dan perlu dibantu sebaliknya mereka juga boleh menjadi penyumbang dan aset negara. Oleh itu, masyarakat kita perlu mengubah persepsi terhadap OKU kerana mereka juga mampu maju ke hadapan sekiranya diberi peluang. Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Kelab Kecacatan Fizikal yang berpusat di Klang, Selangor. Ditubuhkan sejak tahun 1996, merupakan satu-satunya kelab OKU, cacat fizikal yang diwujudkan di negara ini. Sekitar tahun 2003, sebuah bangunan didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang penduduk yang prihatin untuk memenuhi keperluan kebajikan golongan ini. Kelab ini berfungsi sebagai tempat menghimpunkan golongan OKU yang terdiri daripada berbilang bangsa di samping menganjurkan pelbagai aktiviti kelab itu. Objektif terpenting penubuhan kelab berkenaan adalah untuk mengumpul dana dan sumbangan daripada masyarakat setempat untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya yang mengalami nasib yang sama. Jelas Pemangku Presiden kelab, Zakaria Mohd Nor, 50, penubuhan kelab ini icetuskan oleh ahli OKU sendiri iaitu Mohd Yusof Ahmad, yang merupakan Presiden kelab ini dengan bantuan beberapa ahli jawatankuasa lain. Tambahnya, penglibatan dan perkhidmatan mereka dalam kelab ini adalah secara sukarela demi membantu rakan-rakan senasib yang berjuang untuk meneruskan kehidupan. Untuk mendapatkan pembelaan dan perhatian daripada masyarakat, warga OKU ini sanggup berusaha dan bersusah payah. Katanya, setakat ini ahli-ahli kelab ini berjumlah 120 orang yang berumur antara 18 ke atas hingga 60 tahun. Mereka berasal dari sekitar Lembah Klang.

0 komen c-keet: